Monday, December 13, 2010

Pemuda PAS Dun Tepoh TOLAK Buku Dr Mujahid.... Kami sokong Ulama Pelapis

KUALA LUMPUR, 9 Dis ─ Buku terbaru Dr Mujahid Yusuf Rawa, “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme”, yang berada di pasaran sejak September lalu mencetuskan kontroversi dengan Ulama Pelapis parti Islam itu mahu beberapa perkara yang diketengahkannya dikaji semula.

Ahli jawatankuasa Ulama Pelapis Azharudin Mat Said berkata, keputusan itu diambil oleh 32 pakar syariah dari seluruh negara, yang merupakan anggota sayap itu, pada stau muzakarah mengenai buku tulisan Mujahid di ibu negara, Ahad lalu.

“Kami tidak menolak bulat-bulat buku ini tetapi ada beberapa perkara yang yang perlu diteliti semula... ini keputusan 32 pakar syariah, mereka merasakan ada perkara yang perlu dikaji semula,” kata beliau pada diskusi mengenai buku itu yang diadakan di sini malam tadi.

“Ya memang buku ini mencetuskan polemik baru, ada pandangan mengatakan bahawa buku ini diluluskan oleh PAS... itu yang kami terima sebagai maklum balas,” katanya yang membahaskan buku itu dari sudut syariah.

Muzakarah itu juga mendakwa kandungan buku itu tersasar daripada keadaan sebenar dalam PAS. Sehubungan itu kata beliau, pihaknya kemungkinan akan mengeluarkan satu buku bagi menjawab hujah-hujah yang diketengahkan oleh Mujahid.

Hasil muzakarah dijangka akan dikeluarkan secara rasmi dalam beberapa hari lagi. Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat hadir sama pada majlis diskusi, yang majoriti hadirin merupakan golongan mula.

Ketika menjawab kenyataan mengenai keputusan itu, Mujahid berkata, “saya menghormati keputusan itu, tetapi keputusan itu dibuat tanpa memanggil penulis untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dalam buku.”

Beliau yang kelihatan telah menjangkakan implikasi sedemikian kemudian memberitahu The Malaysian Insider, “ini sebahagian daripada pandangan yang diterima.”

“Kita ada pelbagai pandangan mengenai hujah yang saya ketengahkan dalam buku... anda sendiri telah menyaksikan keadaan ini malam ini,” kata Mujahid yang ayahnya merupakan bekas presiden PAS. Buku itu diterbitkan oleh The Malaysian Insider.

“Banyak perkara kena tengok balik, tapi bukan kami hendak menolak... usaha Dr Mujahid ini kami hargai.

“Ini kematangan yang kita amalkan dalam PAS, di mana kami berbincang,” katanya lagi. Dalam bukunya, Mujahid mengesyorkan agar PAS yang menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, perlu mengambil langkah “menasionalkan” parti iaitu menjadikannya “parti yang berpijak dalam kerangka negara bangsa dan bergerak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.”

Kata beliau, PAS perlu menonjolkan ciri-ciri nasional yang mampu memberi keyakinan kepada orang ramai tentang komitmennya terhadap tonggak negara bangsa.

“Persoalan ini timbul berlatangbelakangkan persepsi yang ditanggap oleh orang ramai bahawa PAS bukan parti nasional yang ada kaitan dengan semangat negara bangsa, malah dakwaan PAS keluar dari kerangka perlembagaan dan kebimbangan PAS tidak membawa aspirasi nasional adalah kebimbangan yang berasas,” kata Mujahid dalam buku itu.

Mujahid menambah, kebimbangan itu sebenarnya adalah persepsi orang ramai kepada kepada PAS hasil daripada ungkapan-ungkapan pemimpin dan ahli PAS yang seolah-olah menafikan Perlembagaan Persekutuan.

Anak bekas Mursyidul Am PAS ini menambah, semasa awal kepimpinan ulama sehingga ke hari ini ungkapan bahawa Perlembagaan Persekutuan dilabel sebagai perlembagaan “Taghut” dan dianggap sebagai sebuah “Perlembagaan Kafir”.

“Tanggapan ini terbentuk dalam melihat dan membuat perbandingan antara dasar PAS iaitu al-Quran yang ‘diintepretasikan’ sebagai Perlembagaan dengan Perlembagaan Persekutuan yang ada.

“Pelabelan secara umum dan tanpa melihat perincian kepada keperluan-keperluan semasa dalam konteks kenegaraan telah menimbulkan satu masalah kepada PAS seolah-olah PAS masih lagi belum mampu meneraju politik negara ini kerana ciri ‘nasionalnya’ yang belum kuat dan meyakinkan rakyat Malaysia,” kata beliau.

Buku itu menggariskan senarai krisis dilalui PAS yang kini berusia enam dekad. Dalam buku setebal 194 halaman itu, Mujahid menambah, kesan silap faham ini menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya keengganan parti untuk menyanyikan lagu Negara Ku atas alasan tidak syariah dan sekali gus menampakkan kurangnya ciri nasionalistik PAS secara simboliknya.

Mujahid berkata, sebagai sebuah parti nasional, PAS perlu melihat dirinya berdiri di atas premis Perlembagaan Persekutuan dan untuk menjelmakan premis ini PAS perlu mengambil lima langkah organisasi.

Antaranya ialah memasukkan dalam latihan pengkaderannya satu modul khas tentang Perlembagaan Persekutuan dan membentuk identiti nasional dalam program-program parti melalui simbol yang melambangkan komitmen nasional PAS seperti mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu Negara Ku.

Isu berdiri di atas Perlembagaan Persekutuan dan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negara Ku juga dibangkitkan oleh Azharudin.

Menurut Azharudin, perkara-perkara tidak perlu dibangkitkan sebagai syor memandangkan PAS telah pun menjadikan sebagai amalan politik semasa.

“Saya sendiri menaikkan bendera PAS dan juga Jalur Gemilang pada Hari Kebangsaan, begitu juga kami menyanyikan lagu Negara Ku... PAS juga bergerak atas landasan demokrasi yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan (walaupun perjuangan dasar Islam), jadi mengapa perlu meminta agar PAS berubah?” kata Azharudin lagi.

“Kalau ada satu dua kes, kita tidak boleh menjadikan ia sebagai senario nasional, ia hanya kes-kes terpencil,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment